Followers

Tuesday, 19 April 2016

Jom Menuntut Ilmu

Assalamualaikum sahabat yang dirahmati Allah semua,

Pernah atau tidak, kita terfikir, sampai bila kita perlu belajar. Lamanya waktu belajar. Bermula dengan alam tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan ke universiti. Jika dihitung dengan usia, mungkin hampir 20 hingga 30 tahun kita bergelumang dengan buku-buku. Wah...satu tempoh yang agak lama sebenarnya. Tapi, cukupkah sijil, diploma, ijazah atau PHD yang kita genggam itu untuk bekalan hidup kita.

Sebenarnya kehidupan kita ini adalah satu sesi pembelajaran. Bermula dari lahir hingga ke saat kematian...sesi pembelajaran itu tetap berlangsung. Cuma kita kadang-kadang lupa atau tidak sedar.
Semakin kita belajar, terasa semakin banyak yang kita tidak ketahui. Semakin kita dalami sesuatu ilmu terasa semakin kerdil kita sebagai insan, kerana milik Allahlah segala-galanya. Setiap penerokaan pasti ada penemuan-penemuan baru. Terlalu banyak ilmu yang Allah berikan sehingga tidak patut kita berasa cukup dengan ilmu yang dimiliki.

Suruhan menuntut ilmu ini dapat kita baca dalam firman Allah yang bermaksud:

dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).                                                        ( Surah At-Taubah:122)

Rasulullah juga ada menyebut tentang kewajipan menuntut ilmu:

مَنْ أَرَا دَالدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِا لْعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَالْاآخِرَةَ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ

Ertinya : ”Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia maka wajib baginya memiliki ilmu, dan barang siapa yang menghendaki kehidupan akhirat, maka wajib baginya memiliki ilmu, dan barang siapa menghendaki keduanya maka wajib baginya memiliki ilmu”. (HR. Turmudzi)

Oleh yang demikian, ayuh abang, kakak dan adik manis semua, kita penuhi dada dengan sebanyak mungkin ilmu. Tidak kira apa dan bagaimana ilmu itu, selagi ianya baik dan bermanfaat pasti akan mendapat keredhaan Allah. Kita tidak pernah tua untuk belajar, kerana belajar itu adalah sepanjang hayat.

#Jom menuntut ilmu

" Ilmu yang dicari bukan untuk dimiliki, tetapi sebarkan untuk dikongsi"
"Moga ada manfaat dan rahmat menanti..."




1 comment:

  1. Nak beramal dgn ilmu tu yg paling payah. Uhuhu... deep..

    ReplyDelete